Perbendaharaan AS gugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan rakan dagang

Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara itu.Gambar hiasan (Foto Reuters)
Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara itu.Gambar hiasan (Foto Reuters)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara itu.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Perbendaharaan AS dalam laporan bertajuk 'Report to Congress - Macroeconomics and Foreign Exchange Policies of Major Trading Partners of the United States' bagi November 2024, Malaysia memenuhi satu kriteria dalam laporan terakhir (pada Jun) dan laporan bagi November.

"Apabila sesebuah rakan dagang utama mencapai dua daripada tiga kriteria dalam Akta Kemudahan Perdagangan dan Penguatkuasaan Perdagangan 2015 (Akta 2015), rakan dagang berkenaan akan dimasukkan dalam senarai pemantauan.

"Sehubungan itu, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai pemantauan dalam laporan ini," menurut laporan berkenaan.

Akta 2015 memerlukan Perbendaharaan AS menyediakan laporan pada setiap enam bulan mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran mata wang asing rakan dagang utama negara itu.

Akta berkenaan turut mewajibkan Perbendaharaan AS melakukan analisis yang lebih terperinci mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran bagi setiap rakan dagang utama yang memenuhi tiga kriteria itu.

Tiga kriteria berkenaan adalah lebihan dagangan dua hala dengan AS sekurang-kurangnya AS$15 bilion (AS$1= RM4.48); lebihan akaun semasa material sekurang-kurangnya 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); dan intervensi berterusan di sebelah pihak dalam pasaran mata wang asing sekurang-kurangnya lapan bulan dalam tempoh setahun dengan pembelian bersih sekurang-kurangnya 2.0 peratus daripada KDNK ekonomi dalam masa12 bulan.


Pengguguran Malaysia daripada senarai pemantauan mata wang AS bukti status ringgit dipacu pasaran

Artikel Berkaitan:

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menyambut baik pengguguran Malaysia daripada senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengesahkan status ringgit yang dipacu pasaran.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan, Malaysia tidak pernah menggunakan kadar pertukarannya untuk mendapatkan kelebihan daya saing dalam pasaran.

"Jadi, ini adalah sesuatu yang membuktikan kepercayaan dan pendirian kita dalam hal ini. Perkembangan ini amat dialu-alukan,” katanya pada sidang akhbar sempena mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Suku Ketiga 2024, di sini pada Jumaat.

Laporan separa tahunan Jabatan Perbendaharaan AS yang dikeluarkan pada Khamis, 14 November, memantau negara-negara yang mempunyai lebihan perdagangan yang besar berkaitan dengan AS, yang turut aktif menyertai pasaran pertukaran asing untuk mendapatkan kelebihan daya saing.

Abdul Rasheed juga menekankan apa yang lebih penting, pergerakan ringgit harus mencerminkan asas ekonomi negara.

"Jadi, kehadiran kita dalam pasaran asing adalah untuk memastikan tiada turun naik yang berlebihan dan memastikan pasaran yang teratur supaya perniagaan dapat beroperasi dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, ringgit meningkat berbanding dolar AS sebanyak 14.9 peratus pada Suku Ketiga dan 3.1 peratus setakat tahun ini pada 13 November.

"Prestasi ringgit pada suku ketiga didorong terutamanya oleh peralihan Rizab Persekutuan AS (Fed) ke arah pelonggaran dasar monetari, termasuk penurunan kadar dana persekutuan sebanyak 75 mata asas pada September dan November.

"Dari segi usaha kita untuk menggalakkan perniagaan menghantar pulang pendapatan eksport ke dalam nilai ringgit dan menggalakkan pelabur membawa balik pendapatan dan menukar kepada ringgit... nampaknya telah menunjukkan hasil yang positif," katanya.

Beliau berkata, usaha ini telah membawa kepada aliran dua hala yang sihat ke dalam pasaran dan membantu menyokong kenaikan ringgit.

Gabenor berkata, purata pusing ganti pertukaran asing harian Malaysia juga meningkat daripada AS$15 bilion (AS$1 = RM4.48) kepada AS$18.2 bilion setakat ini pada tahun ini.

"Sebelum ini, ringgit menyusut sebanyak 10 peratus antara Februari hingga Oktober. Dari segi kadar pertukaran nominal, ia menyusut sebanyak 9.8 peratus,” katanya sambil menambah ini disebabkan oleh perubahan dalam peralihan dasar ekonomi maju, khususnya di AS.

Abdul Rasheed percaya ringgit akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh domestik dan momentum daripada pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan sekarang serta perbezaan kadar faedah yang mengecil antara AS dan Malaysia.

Beliau berkata, peserta pasaran kewangan juga menjangkakan penurunan selanjutnya kadar oleh Fed AS menjelang 2025.

Namun begitu, beliau berkata, perubahan dalam pentadbiran AS dijangka menyebabkan keadaan yang tidak menentu buat permulaannya, tetapi memberi jaminan Malaysia bersedia untuk bangkit semula seperti yang berlaku sebelum ini.

"Ringgit meningkat sebanyak lapan peratus selepas turun naik pada awalnya. Jadi kita juga boleh jangka perkara yang sama sekarang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!