Ahli perniagaan rugi RM5.2 juta terpedaya skim pelaburan tidak wujud
KUALA TERENGGANU - Seorang ahli perniagaan terpaksa menanggung kerugian RM5.2 juta selepas terpedaya dengan penipuan skim pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Facebook.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa berusia 67 tahun itu mula menyertai pelaburan yang dikatakan menjalankan kegiatan jual beli saham di China, pada 1 September lalu.
Menurutnya, mangsa yang inginkan keuntungan dalam tempoh singkat telah memuat turun satu aplikasi yang diserahkan melalui emel dan membuat bayaran pertama berjumlah RM30,000.
"Pada peringkat awal, mangsa cuba membuat pengeluaran wang melalui aplikasi tersebut dan tiga pengeluaran berjaya ditunaikan ke dalam akaun mangsa dengan jumlah RM89,800
"Mangsa yang bertambah yakin dengan pelaburan itu terus melakukan transaksi kedua dan ketiga berjumlah RM50,000 dan RM20,000 bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Mohd Khairi berkata, mangsa juga dijanjikan untuk memperoleh keuntungan dalam masa yang singkat sekiranya melaburkan modal kepada pihak berkenaan.
Jelas beliau, mangsa yang semakin yakin terus membuat transaksi pindahan wang miliknya berjumlah RM240,000 secara berperingkat untuk menambah saham.
Katanya, mangsa telah melakukan 13 transaksi memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank tempatan berbeza dengan kerugian RM5.2 juta.
"Mangsa dimaklumkan akan menerima keuntungan daripada pembelian saham tersebut, namun perlu membuat bayaran berjumlah RM1 juta sebagai pembahagian keuntungan.
"Malangnya, selepas membuat bayaran tersebut mangsa diberitahu bahawa masih tidak dapat membuat pengeluaran kerana tidak membuat pembayaran cukai yang dikenakan.
"Mangsa seterusnya membuat pembayaran di kaunter bank tempatan dengan jumlah RM1.6 juta dan bayaran deposit sebanyak RM520,000 kononnya untuk siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berasa ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada petang Khamis.
"Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, masyarakat diminta sentiasa peka dan berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.
"Sentiasa mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!