Ibu tunggal buta mata kiri berjuang besarkan dua anak

Norzainizah (tengah) tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan nasib dua orang anaknya yang masih bersekolah.
Norzainizah (tengah) tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan nasib dua orang anaknya yang masih bersekolah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada kata yang mampu diucapkan seorang ibu tunggal apabila terpaksa membesarkan dua orang anak dalam keadaan buta mata kiri akibat serangan angin ahmar di otak sejak sembilan bulan lalu.

Norzainizah Zainal, 32, berkata, masalah penglihatan yang dialaminya itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di bandar raya ini.

Jelasnya, bagi menampung kehidupan seharian termasuk perbelanjaaan sekolah dua orang berusia 13 dan 12 tahun serta membayar duit sewa rumah, duit simpanan menjadi tali hayat namun kini semakin kehabisan.

Norzainizah menunjukkan laporan perubatan dari hospital.
Norzainizah menunjukkan laporan perubatan dari hospital.

"Saya hilang punca pendapatan manakala pembedahan laser ke atas mata kiri tidak berjaya pulihkan penglihatan.

"Kini saya menunggu keputusan daripada hospital sama ada perlu menjalani pembedahan bagi menyelamatkan penglihatan mata di sebelah kanan," katanya ditemui di Kampung Melayu Majidee di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Norzainizah menerima sumbangan barangan barangan keperluan yang disampaikan Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Norzainizah yang merupakan pemegang kad OKU, memberitahu ramai rakan-rakan yang membantu memandangkan dia hidup sebatang kara selepas kehilangan ibu pada 2018 dan ayah, dua selepas itu.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah dua orang anak yang masih bersekolah memahami keadaan saya.

"Apa yang ada kami makan, jika tiada kami diam tidak perlu cakap dengan orang.

"Anak-anak akan bawa bekal dari rumah, kadang-kadang saya bagi mereka duit RM2 ke sekolah," katanya.

Norzainizah (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Mas Imran (kiri) di Kampung Melayu Majidee pada Jumaat.
Norzainizah (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Mas Imran (kiri) di Kampung Melayu Majidee pada Jumaat.

Harapan seterusnya disandarkan Norzainizah agar mereka sekeluarga dapat tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang lebih rendah kadar sewa memandangkan dirinya tidak mampu bekerja.

"Dugaan ini cukup besar tetapi saya sentiasa berdoa dan berharap agar terus tabah dan kuat apatah lagi dengan tahap kesihatan tidak menentu dan sering berulang alik ke hospital," katanya.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khalid ketika dihubungi memberitahu pihaknya sudah berhubung dengan pegawai Baitulmal di Johor Bahru dan akan melihat keperluan ibu tunggal tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!