Pusat urut rupanya tawar aktiviti persundalan
KLANG - Kegiatan persundalan dengan menawarkan aktiviti seks dan berselindung di sebalik premis urut di sini, dibongkar, pada Khamis.
Serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula jam 3 petang itu bertindak menyerbu tiga pusat urut serta sebuah hostel yang dijadikan kediaman pekerja tukang urut wanita asing.
Ops Gegar itu mengesan pusat urut yang dipercayai menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM200 hingga RM250 dan langganan dibuat melalui aplikasi sosial Wechat.
Susulan serbuan itu, pasukan operasi telah menggempur hostel pekerja wanita asing itu yang terletak berhampiran.
Semasa serbuan, pintu grill hostel dikunci hingga memaksa pasukan serbuan memotong untuk naik ke tingkat atas.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya telah menggempur enam premis membabitkan tiga pusat urut, sebuah hostel pekerja, restoran dan kedai serbaneka menerusi Ops Belanja, Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Gegar.
"Seramai 47 orang termasuk 23 wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun telah ditahan.
"Pecahan tangkapan terdiri daripada empat warga tempatan disyaki majikan, Indonesia (3 orang), Vietnam (9 orang), Myanmar (22 orang), Thailand (6 orang) serta China (3 orang)," katanya pada Jumaat.
Tegasnya, antara kesalahan warga asing dikesan ialah tiada pas atau permit sah serta langgar syarat pas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1)(d) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!