Ketua Pengarah IPPTAR terima Anugerah Zaid bin Thabit 2024
KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin menerima Anugerah Zaid bin Thabit bagi Kategori Tokoh Pengamal Media sempena Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Casuarina Convention Center, Ipoh pada 16 September 2024.
Anugerah Zaid bin Thabit itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Selain wang tunai berjumlah RM5,000, Roslan juga menerima plak dan sijil dan Roslan menyifatkan anugerah berkenaan sangat bermakna kepada beliau serta semua pengamal media penyiaran di Malaysia.
“Selama 33 tahun bertugas sebagai wartawan atau pengamal media-penyiar, pelbagai pengalaman pahit serta manis telah saya lalui
“Anugerah Zaid bin Thabit memberi saya semangat dan dorongan untuk membantu memajukan industri media penyiaran
“Sikap Zaid bin Thabit ini wajar dicontohi oleh semua pengamal media-penyiar kerana di zaman ini kita terdedah kepada pelbagai berita palsu (fitnah),” ujar Roslan yang pernah menerima dua kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2017 dan 2000).
Roslan, 58, berasal dari Ipoh (Perak) memulakan kerjayanya sebagai wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1990 hingga 1991. Beliau mula dilantik sebagai Ketua Pengarah IPPTAR pada 29 Januari 2024.
Roslan merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) pada tahun 1991.
Beliau sekali lagi menyambung pengajian di universiti yang sama dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama pada tahun 2000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!