Kisah 'dongeng' Jun Hao di Jepun
BIARPUN tidak diletakkan sebarang harapan pada Kejohanan Badminton Jepun Masters, namun pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao membuktikan sebaliknya.
Pemain yang menghuni ranking ke-31 dunia itu melakar sensasi apabila meraih tiket separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 di Kumamoto sebentar tadi.
Malah lebih menarik, Jun Hao mengejutkan wakil tuan rumah yang juga pemain nombor empat dunia, Kodai Naraoka dalam perlawanan penuh dramatik sehingga ke set penentuan.
Dalam aksi suku akhir di Gimnasium Kumamoto Prefectural tersebut, pemain berusia 25 itu bermula positif apabila menang 21-17 pada set pertama.
Menerusi sokongan padu peminat tuan rumah, Naraoka bangkit mengungguli set kedua 21-9 untuk mengheret pertarungan ke permainan penentuan.
Pujian harus diberikan kepada Jun Hao apabila tenang mengawal permainan biarpun beberapa kali ketinggalan mata di belakang Naraoka.
Sikap enggan berputus asa akhirnya berbaloi buat Jun Hao apabila mengesahkan kemenangan 21-16 untuk mara ke separuh akhir.
Malah lebih manis, kemenangan tersebut juga membolehkan juara remaja Asia 2017 itu melunaskan dendamnya ke atas Naraoka yang kalah kepada lawan itu pada pusingan kedua Terbuka Jepun, Ogos lalu.
Menanti Jun Hao dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah jaguh Indonesia, Jonatan Christie dalam misi mengintai peluang ke pentas final.
Jonatan mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia 12-21, 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Jun Hao sebelum ini turut melakar kejutan dalam pengembaraannya ke suku akhir selepas menyingkirkan semi finalis Olimpik Paris 2024 dari India, Lakshya Sen pada pusingan pertama.
Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu kemudian mengalahkan pemain di ranking ke-11 dunia dari Jepun, Hoki Watanabe dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!