Belanjawan Selangor 2025: Pengurangan duti hiburan diteruskan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil keputusan mengurangkan duti hiburan bagi menggalakkan lebih ramai pelancong melawat negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar mengecualikan duti hiburan secara penuh bagi artis tempatan akan diteruskan bagi tahun depan.
Menurutnya, bagi artis antarabangsa pula, duti hiburan akan dikurangkan dari kadar 25 peratus kepada 10 peratus.
"Langkah itu supaya lebih ramai warga Selangor dapat memanfaatkan kehadiran artis-artis antarabangsa untuk memeriahkan lagi industri kreatif dan muzik di Selangor," katanya menerusi Belanjawan Selangor 2025 pada Jumaat.
Selain itu katanya, duti hiburan bagi pameran bertiket turut akan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 15 peratus.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kesemua pengurangan duti hiburan itu akan menyebabkan implikasi kewangan sebanyak RM13.17 juta sepanjang tahun hadapan.
"Walaupun begitu, pentadbiran ini percaya penjimatan di tangan pengguna.
"Ia mampu membawa kebaikan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi sepanjang pementasan dan konsert sambil memupuk lebih ramai generasi muda untuk mencungkil bakat masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!