Penjawat awam Sabah terima bonus satu bulan gaji
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seramai 18,949 penjawat awam di negeri ini menerima khabar gembira apabila Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan bantuan khas sebulan gaji atau minimum RM3,000 akan diberikan pada Januari depan.
Masidi berkata, kerajaan negeri menyedari penjawat awam Sabah merupakan nadi utama jentera dan pentadbiran perkhidmatan dalam kerajaan.
"Selain pelarasan gaji, kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada semua penjawat awam dengan pemberian bonus satu bulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri Sabah termasuk yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian (PSH).
"Bayaran bantuan khas kewangan ini melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025," katanya dalam pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Jumaat.
Sebelum itu, Masidi berkata, kerajaan negeri juga akan turut menyemak semula kadar gaji penjawat awam negeri ini untuk diselaraskan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelarasan gaji penjawat awam Persekutuan.
"Bagi menjaga kebajikan dan memastikan motivasi penjawat awam negeri sentiasa berada pada paras yang tinggi, maka diselaraskan pengumuman Perdana Menteri berkaitan pelarasan gaji penjawat awam Persekutuan.
"Kerajaan Sabah juga akan turut menyemak semula kadar gaji penjawat awam negeri termasuk berstatus Kontrak, vot terbuka dan PHS," katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan Sabah akan melaksanakan pelarasan gaji melalui dua fasa iaitu pada Disember tahun ini dan fasa kedua pada tahun 2026.
"Pelarasan ini yang akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM149 juta yang merupakan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat termasuk penjawat awam," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sumbangan RM300 secara 'one off' kepada mahasiswa bagi Institut Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa) diperkenalkan kerajaan Sabah buat kali pertama pada tahun hadapan di bawah pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan Sabah 2025.
Ujar Masidi, kerajaan Sabah memperuntukkan RM497.54 juta pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha memperkasa modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan, kreatif, berinovasi serta berintegriti agar mampu memartabatkan negeri Sabah ke tahap lebih tinggi.
Katanya, bagi pembangunan modal insan di negeri ini, kerajaan Sabah akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan, para pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Bantuan RM127 juta untuk program biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajar negeri kepada seramai 7,130 pelajar aktif di IPT dalam dan luar negara serta menyasarkan penambahan penajaan kepada 3,000 pelajar baharu.
"Kedua, sumbangan kepada Sentosa secara 'one off' sebanyak RM300 seorang. Bantuan ini adalah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun hadapan.
"Ketiga Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) secara 'one off' berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar yang menyambung pengajian di peringkat ijazah, manakala RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma dan matrikulasi," katanya.
Menurut Masidi, bantuan subsidi tiket penerbangan atau 'Graduan Rindu Sabah' Diteruskan pada tahun hadapan.
SUBFLY sebanyak RM600 kepada setiap pelajar IPT Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan.
"Sumbangan kegiatan sekolah Sabah secara 'one off' sebanyak RM3,000 kepada 1,500 sekolah di Sabah untuk tujuan membiayai program sekolah juga diteruskan.
"Kerajaan Sabah juga akan meneruskan pemberian bantuan lain seperti Bantuan Ihsan Komputer (Baik), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (Aksa), Bantuan Aktiviti PIBG (Bagus), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah), dan Bantuan Khas Program Pendidikan (Bantu) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM26.4 juta," katanya.
Dalam pembentangan tersebut, Masidi berkata, kerajaan Sabah mencadangkan belanjawan yang bertemakan 'Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera' dianggarkan sebanyak RM6.421 bilion.
"Bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan Negeri 2025, kerajaan Sabah julung kalinya mencadangkan satu anggaran perbelanjaan perbekalan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.421 bilion dengan anggaran hasil negeri sebanyak RM6.445 bilion.
"Bagaimanapun, belanjawan negeri 2025 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM24.08 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!