Emery dedah cerita dipecat
BEKAS pengendali Arsenal, Unai Emery mengecam sikap segelintir pemain bintang The Gunners yang didakwanya menjadi punca kepada pemecatannya pada November tahun lalu.
Sebaliknya, Emery yang juga bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) berkata, dia berjaya memperbaiki prestasi Arsenal sejak mengambil alih tugas daripada Arsene Wenger pada 2018.
“Arsenal adalah sebuah kelab bola sepak yang sedang mengalami penurunan prestasi selama dua tahun di bawah Wenger sebelum saya datang. Namun, saya berjaya menghentikan kemerosotan itu, bahkan mulai meletakkan kembali Arsenal menjadi kelab digeruni dan dihormati.
“Kami mara ke final Liga Europa dan mengakhiri cabaran tempat kelima Liga Perdana Inggeris, satu mata kurang daripada Tottenham Hotspur selepas sekadar mendapat satu mata dalam lima perlawanan terakhir,” katanya.
Menurut pengendali kelahiran Perancis itu, The Gunners juga berpeluang lolos ke saingan Liga Juara-Juara, namun terpaksa akur kehilangan slot berkenaan pada saat-saat akhir.
“Sejujurnya ia (2018/2019) adalah musim terbaik Arsenal berbanding dua musim sebelum itu dan kami bertekad mengekalkan momentum positif ini. Namun, kemudiannya kami kehilangan empat tonggak dalam usaha menstabilkan pasukan.
“Tambah malang apabila beberapa pemain bintang mula mempamerkan karakter tidak profesional dan tidak memberikan apa yang terbaik dalam diri mereka semasa di padang.
“Pada waktu inilah saya memerlukan masa lebih untuk membentuk kembali Arsenal baharu tetapi hajat saya tidak kesampaian dan saya akur dengan keputusan pengurusan kelab,” jelas Emery yang hanya bertahan selama 18 bulan di Emirates.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!