Belanjawan Selangor: Peruntukan tambahan RM282.5 juta Skim Smart Sewa
SHAH ALAM - Kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 282.5 juta bagi program Skim Smart Sewa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM480 juta telah diperuntukkan dengan sasaran penyediaan 3,000 unit sejak program itu diperkenalkan sejak 2016.
Menurutnya, program itu bertujuan membantu golongan B40 dan M40 untuk menyewa rumah pada kadar berpatutan.
"Bantuan ini terutama bagi mereka yang belum memiliki atau menghadapi kesukaran untuk mendapat pembiayaan atau pinjaman dalam pemilikan rumah.
"Untuk tahun 2025, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 819 unit dengan peruntukan tambahan sebanyak RM 282.5 juta," katanya menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada Jumaat.
Katanya, menerusi peruntukan itu, ia dapat membantu mengurangkan beban rakyat yang menghadapi masalah pemilikan rumah.
"Mereka dapat menyewa di kawasan selamat dan selesa sambil menyimpan deposit untuk memiliki kediaman sendiri.
"Di samping itu, inisiatif itu menawarkan kadar sewa berpatutan dan mereka akan menerima pulangan balik 30 peratus daripada sewaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!