TCLC, INSAP lancar tinjauan mengenai kajian klasifikasi pendapatan isi rumah
SHAH ALAM - Bagi membantu kerajaan menjelaskan persepsi rakyat terhadap klasifikasi pendapatan isi rumah, Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tun Tan Cheng Lock (TCLC), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bersama Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) melancarkan tinjauan dalam talian bertajuk 'Kajian Klasifikasi Pendapatan Isi Rumah dan Penarikan Balik Subsidi'.
Ketua Institut Kajian Sosial Tun Tan Cheng Lock, UTAR, Dr Chin Yee Mun berkata, inisiatif tinjauan bertujuan mengumpul pandangan rakyat Malaysia mengenai cadangan kerajaan untuk menghapuskan subsidi petrol RON95 dan subsidi lain secara berperingkat untuk kumpulan 15 peratus berpendapatan tinggi (T15).
Menurutnya, klasifikasi pendapatan isi rumah adalah penting dalam menentukan dasar reformasi negara.
"Setakat ini, kerajaan menggunakan klasifikasi tersendiri dan definasi yang digunakan adalah definasi kerajaan.
"Jadi, kajian kami ingin membantu dari segi membolehkan responden mengemukakan pendapatan isi rumah minimum berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, tinjauan tersebut juga bertujuan memahami sentimen awam mengenai pembaharuan subsidi dan pengelasan pendapatan isi rumah.
"Perbincangan baru-baru ini menimbulkan kekeliruan tentang definisi kumpulan T15, dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa kriteria untuk kemasukan T15 masih dikaji semula bagi memastikan pengagihan subsidi yang lebih saksama.
"Dengan perkembangan ini,penglibatan orang awam adalah penting untuk memastikan keputusan dasar mencerminkan pengalaman dan pandangan rakyat Malaysia," katanya.
Sehubungan itu tambah beliau, melalui inisiatif berkenaan, TCLC dan INSAP berhasrat menyumbang kepada pembangunan dasar dengan menyediakan pandangan yang berasaskan data mengenai pendapat awam.
"Hasil tinjauan ini diharapkan dapat membantu membentuk dasar yang berkesan dan adil. Dengan menggalakkan penglibatan orang awam, tinjauan ini bertujuan untuk memupuk budaya tadbir urus yang berpartisipasi, yang membolehkan rakyat menyumbang kepada perbincangan dasar ekonomi.
"Kami cuba dapatkan responden dari pelbagai latar belakang, mengikut etnik, negeri, bandar, luar bandar dan saiz isi rumah. Oleh itu, kami berharap akan dapat seramai mungkin responden,"katanya.
Tinjauan dalam talian berkenaan dibuka sejak 4 hingga 22 November ini.
Mereka yang mahu mengambil bahagian, boleh layari pautan https://forms.gle/Bjmcnw54p3ExQ1Yg6 atau imbas kod QR tertera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!