'Ucapan selamat pagi mesej terakhir kakak' - Keluarga wanita dihempap kontena
GEORGE TOWN - Sikap bertimbang rasa dan sering mengambil berat terhadap adik beradik yang lain membuatkan semua orang memanggilnya kakak.
Itu yang dikongsikan Lee Zi Qi menerusi media sosial, Xiaohongshu mengenai adiknya, Lee Zi Rou yang maut dihempap kontena dalam kemalangan maut di Jalan Kebun Sireh, Bukit Tengah, Bukit Mertajam baru-baru ini.
Zi Qi berkata, adiknya baharu sahaja menyambut hari lahir ke 21 tahun pada bulan Jun yang lalu.
"Walaupun dia anak kedua, dia sering mengambil peranan sebagai kakak, malah dia amat mengambil berat menjaga kami seluruh keluarga," tulisnya, menurut China Press.
Berkongsi kenangan akhir bersama mendiang, Zi Qi berkata, pada pagi kejadian, Zi Rou sempat berkongsi ucapan selamat pagi dalam grup WhatsApp keluarga dan tidak pernah menjangka ia menjadi ucapan perpisahan terakhir.
Katanya, mereka sekeluarga terkejut selepas mendengar berita kemalangan itu dan amat dukacita dengan nasib yang dialami oleh Zi Rou.
"Sebaik menerima berita, kami bergegas ke tempat kejadian dan melihat di tempat pemandu remuk dihempap kontena.
"Kami sedih kerana tidak dapat selamatkan dia dan kejadian itu benar-benar menyayat hati," katanya lagi.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi Rabu, Zi Rou yang memandu bersendirian kereta Perodua Bezza ke tempat kerjanya, terkorban selepas kontena yang dibawa sebuah lori treler terjatuh dan menghempap kenderaannya.
Difahamkan, Zi Rou ketika itu sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah apabila lori treler yang datang dari arah bertentangan membelok tajam ke kiri.
Kereta dipandunya remuk teruk akibat dihempap kontena.
Kejadian itu turut melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori tiga tan.
Beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan, dengan seorang lagi pemandu cedera dan dibawa ke hospital.
Sebelum itu, tular beberapa klip video berkenaan kejadian tersebut yang memaparkan sebuah treler yang membawa kontena terbabas lalu menghempap beberapa buah kenderaan di laluan bertentangan.
Difahamkan, jasad Zi Rou akan disemadikan di Berapit Crematorium, Ahad ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!