Belanjawan Selangor ibarat belanjawan langit, idea kayangan - Hilman Idham
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berpandangan Belanjawan Selangor 2025 ibarat 'belanjawan langit' dengan idea-idea kayangan.
Muhammad Hilman berkata, belanjawan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu didakwa tidak menghiraukan isu-isu asas ekonomi serta permasalahan rakyat 'kecil' di bawah.
"Tiada sebarang usaha pembaikan struktur ekonomi dibentangkan kerajaan negeri bagi mendepani masalah utama rakyat, kos sara hidup, inflasi, pemberdayaan ekonomi rakyat.
" Kerajaan negeri juga alpa daripada keadaan dan situasi ekonomi semasa. Tiada sebarang semakan atau perubahan dasar, polisi dan kebijakan kerajaan negeri bagi mendepani isu kos pembangunan yang semakin meningkat.
"Ini bakal merencatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat negeri Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Amirudin menerusi Belanjawan Selangor 2025 menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM3 bilion merangkumi RM1.7 bilion perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion perbelanjaan pembangunan.
Muhammad Hilman yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan 2024 yang masih belum mencapai tahap 70 peratus mendakwa memperlihatkan ketidakcekapan kerajaan Selangor untuk berbelanja secara berhemah dan bertanggungjawab.
"Anggaran perbelanjaan mengurus yang melonjak naik hampir RM500 juta berbanding belanjawan 2024 harus disemak.
"Belanja mengurus yang besar tidak akan merangsang pertumbuhan ekonomi ekonomi melainkan menjadi beban jangka panjang buat kerajaan negeri, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!