Polis kesan individu pukul lelaki OKU di Dataran Shah Alam
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memukul sehingga mencederakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Dataran Shah Alam pada Isnin lalu, yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berada dalam kereta di lokasi berkenaan sebelum didatangi suspek.
"Suspek bertindak kemudiannya bertindak menghalau mangsa keluar dari kawasan tersebut sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua-dua mereka.
"Suspek dipercayai bertindak memukul mangsa dengan tangan sebelum mangsa kemudiannya bertindak membalas pukulan suspek itu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kejadian itu bagaimanapun dileraikan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
"Akibat kejadian mangsa mengalami calar di bahagian lengan sebelah kanan.
"Pemeriksaan mendapati mangsa merupakan pemegang kad OKU mental dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan pergaduhan libatkan dua individu di kawasan Dataran Shah Alam di sini sebelum kejadian kemudiannya dileraikan orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!