Empat PATI warga Myanmar seberang Sungai Golok cuba masuk Malaysia
TANAH MERAH - Empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dikesan cuba menyeberangi Sungai Golok dari arah Thailand untuk menyeludup masuk ke Malaysia di sini pada Jumaat.
Kejadian berlaku pada jam 8.15 pagi itu bagaimanapun digagalkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Markas 2 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (ATM).
Markas 2 Divisyen dalam satu kenyataan menyebut, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan berjaya mengesan empat lelaki sedang menyeberangi Sungai Golok ke negara ini.
“Dua mereka dapat ditahan manakala dua lagi melarikan diri ke arah Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki berusia 34 dan 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” kata kenyataan itu.
Turut ditemui adalah pakaian, telefon bimbit dan beberapa keping wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar serta Thailand dengan nilai keseluruhan RM3,826.
“PATI tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.
“TDM akan terus komited memperketatkan kawalan di sempadan negara,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!