Rasuah ADUN: Peguam individu terlibat sebar video pernah minta perlindungan SPRM - Azam

Azam membincangkan topik bertajuk Integriti Dalam Perkhidmatan Awam pada Program Ruang Bicara di Wisma Bernama malam Jumaat. Foto: Bernama
Azam membincangkan topik bertajuk Integriti Dalam Perkhidmatan Awam pada Program Ruang Bicara di Wisma Bernama malam Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam individu terlibat dengan penyebaran video yang didakwa berkaitan isu rasuah melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pernah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perlindungan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, peguam itu datang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 30 Oktober lepas untuk memberi maklumat berhubung isu rasuah terbabit serta ingin meminta perlindungan dan imuniti di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010, supaya anak guamnya tidak disiasat dan dituduh di mahkamah.

"Pihak SPRM telah menyatakan kepada mereka bahawa perkara itu tidak boleh diberikan kepada mana-mana individu, bukan kerana kes ini...imuniti itu tidak boleh diberikan sehingga kes dikemukakan kepada pendakwa raya untuk membuat keputusan.

"Kes rasuah ini yang paling senang adalah perbuatan memberi dan menerima, kedua-duanya merupakan kesalahan. Tapi kita tengok jugalah darjah penglibatan mereka yang dikatakan memberi,” katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam program Ruang Bicara yang diterbitkan secara langsung oleh Bernama TV malam Jumaat.

Menurut beliau, ketika pertemuan itu, pihaknya hanya diberikan satu audio yang kurang jelas berdurasi 17 saat dan kemudian peguam itu telah pergi ke sebuah portal berita serta memberi peluang untuk melihat video-video berkenaan.

"Ini satu helah (trick) yang tidak berpatutan. Kenapa kami yang berada di pihak penguatkuasaan kamu tidak percaya. Masa berjumpa dengan pegawai SPRM mereka katakan Akta Pemberi Maklumat 2010 tidak kuat dan tak memadai untuk anak guam mereka.

"Akta Pemberi Maklumat 2010 ini diberikan kepada mereka yang tidak melakukan kelakuan tidak wajar (improper conduct), maknanya tidak terlibat dalam salah laku tersebut. Lebih penting, individu itu perlu menzahirkan maklumat yang mahu diberikan kepada SPRM, barulah kami boleh buat keputusan,” katanya.

Azam berkata SPRM secara formal tidak mengetahui siapa individu yang terlibat dalam skandal video itu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk berkata supaya SPRM mulakan siasatan, apa yang hendak disiasat? Kononnya tular di media sosial bahawa (video) itu berlaku di Sabah dan sebagainya...saya sendiri tidak tahu adakah itu yang dimaksudkan dan SPRM tidak boleh membuat sebarang telahan tidak berasas.

"Sehingga kini, individu berkenaan sudah tidak datang kepada kami untuk beri maklumat. Apabila tiada laporan kepada kami, secara profesionalnya tiada aduan dibuat. Saya juga sudah gesa individu terbabit untuk datang ke SPRM kerana dia yang mulakan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, apa-apa tindakan yang akan diambil oleh SPRM berkaitan skandal video itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan pihaknya sedang melihat apakah merit video terbabit sama ada untuk dijalankan siasatan atau tidak.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!