Bentuk kerjasama ekonomi serantau

Anwar (dua dari kiri) dan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Tengku Zafrul (kiri) dan Menteri Pembangunan Pertanian dan Pengairan Peru, Angel Manuel Manero Campos di Istana Kerajaan pada Rabu.
Anwar (dua dari kiri) dan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Tengku Zafrul (kiri) dan Menteri Pembangunan Pertanian dan Pengairan Peru, Angel Manuel Manero Campos di Istana Kerajaan pada Rabu.
A
A
A

JADUAL bulan November cukup padat. Selain menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai dan ke Beijing, kami juga ke Mesir sebelum menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-31 di Peru.

Walaupun jadual ini sememangnya mencabar, namun penglibatan Malaysia dalam forum antarabangsa termasuk di forum seperti APEC, adalah penting terutama sekali dengan perkembangan geopolitik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Seawal tahun 1989, Malaysia telah menjadi salah satu daripada negara pengasas APEC, yang boleh dikatakan sebagai pemacu integrasi dan kerjasama ekonomi di Rantau Pasifik.

APEC tahun ini dengan tema Empower-Include-Grow berusaha untuk menangani pelbagai cabaran yang mendesak dan mengukuhkan komitmen terhadap keterangkuman dan kemampanan.

Ini amat penting memandangkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 dan pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bakal mengubah percaturan ekonomi global – satu perkara yang banyak dibincangkan di Lima.

Keahlian APEC sememangnya membawa banyak manfaat untuk Malaysia. Pertama, dengan jumlah populasi tiga bilion, 21 negara anggota APEC mewakili kira-kira 62 peratus daripada KDNK dunia dan 47 peratus daripada perdagangan global. Selain perdagangan, APEC juga berperanan memudah cara pelaburan, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.

Pada tahun 2023, KDNK APEC meningkat sebanyak 3.5 peratus melepasi kadar pertumbuhan global iaitu 3.2 peratus. Ini didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang teguh dan sektor perkhidmatan berdaya tahan terutamanya pemulihan sektor pelancongan. Kadar pertumbuhan 3.5 peratus juga dianggarkan untuk tahun 2024.

Walaupun ketidaktentuan geopolitik, perlindungan perdagangan dan turun naik harga komoditi mungkin menyaksikan pertumbuhan sedikit menurun kepada 3.1 peratus pada 2025, namun gabungan kekuatan APEC tetap berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Dari segi peningkatan perdagangan, setakat Julai 2023, ahli-ahlinya telah menandatangani sebanyak 212 perjanjian perdagangan bebas (FTA), dengan 202 telah berkuat kuasa. Apa yang lebih penting, 74 daripada FTA ini adalah antara ahli-ahli APEC, melibatkan sekurang-kurangnya dua ekonomi anggota dengan impak positif kepada ekonomi Malaysia.

Pada 2023, ekonomi APEC menyumbang 78.1 peratus atau lebih RM2 trilion daripada jumlah perdagangan Malaysia dan menyumbang 57.2 peratus atau RM107. 8 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan merentas semua sektor di Malaysia. Ringkasnya, keahlian APEC sememangnya menyokong ekonomi Malaysia secara signifikan.

PELUANG SINERGI

Sementara itu, Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025 dengan membawa manfaat sinergi antara ahli-ahli APEC dan negara anggota ASEAN di mana tujuh daripadanya turut menjadi ahli APEC.

ASEAN juga boleh disifatkan sebagai nadi APEC sama ada dari segi lokasi, kepentingan strategik mahupun kedinamikan ekonomi.

Peluang dwi-peranan yang jarang berlaku ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan unik untuk menyokong kuat kedua-dua forum bagi meneruskan pendekatan seimbang dan tidak berpolarisasi di Rantau Indo-Pasifik.

Sesungguhnya, tema Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ sejajar dengan tema 2024 APEC kerana kedua-dua rangka kerja berusaha untuk mengutamakan ekonomi digital, teknologi hijau dan sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana - membuka jalan bagi kestabilan serantau dan kemakmuran bersama.

Tetapi sumbangan APEC yang paling penting adalah peranannya dalam mengekalkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan berbilang hala.

Kembalinya Trump sebagai Presiden AS membangkitkan kebimbangan bahawa dasar America First beliau sebelum ini akan menyaksikan pengunduran ketara daripada dasar multilateralisme melalui APEC dan rangka kerja serantau yang lain. Namun begitu harus diakui, dasar-dasar pentadbiran baharu ini hanya akan diketahui selepas perlantikan Presiden AS.

Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa perkembangan ini juga membuka peluang untuk kita. APEC telah dan boleh terus berfungsi sebagai platform untuk AS terlibat secara konstruktif dengan rantau ini dalam isu ekonomi seperti daya tahan rantaian bekalan, sumber strategik dan perdagangan digital.

Sesungguhnya, kami berharap pentadbiran Trump akan mendekati perdagangan global dengan pragmatisme dan pandangan yang jelas tentang faedah bersama daripada penglibatan pelbagai hala yang akan melengkapkan kerjasama APEC.

APEC telah membuktikan keberkesanannya dalam memupuk kerjasama dalam kalangan ekonomi yang berbeza-beza, membolehkan mereka menangani cabaran bersama seperti ketidaksamaan ekonomi.

Dalam konteks APEC, pematuhan kepada kedaulatan peraturan yang dipersetujui memudahkan liberalisasi perdagangan, aliran pelaburan, dan integrasi ekonomi untuk menggalakkan kestabilan dalam hubungan antarabangsa. Ia juga menyediakan mekanisme untuk penyelesaian pertikaian dan penguatkuasaan perjanjian, aspek yang penting untuk mengekalkan kepercayaan.

Selain itu, sistem berasaskan peraturan menegakkan kedaulatan negara-negara ahli sambil menggalakkan mereka bekerjasama dalam isu global. Keseimbangan ini adalah kunci untuk mengelakkan tindakan unilateral yang boleh membawa kepada konflik dan gangguan ekonomi.

KEJAYAAN DATANG DARI KERJASAMA

AS dan China sebagai dua ekonomi terbesar APEC, kekal penting kepada trajektori ekonomi dunia. Tahun ini, ekonomi mereka dijangka berkembang masing-masing sebanyak 2.5 peratus dan 4.8 peratus. Dalam jangka panjang, kesepakatan antara AS dan China adalah hasil terbaik bukan sahaja untuk rakyat mereka tetapi juga seluruh dunia.

Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dalam semua perkara, saya percaya pentadbiran Trump akan mendapati Malaysia serta APEC dan ASEAN bersedia untuk mengadakan libat urus demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran dunia.

Apabila bercakap mengenai perdagangan dan pelaburan, kami percaya sikap berkecuali Malaysia adalah sesuatu yang bernilai, bukan sahaja kepada dasar luar dan ekonomi kami sendiri, tetapi juga sebagai jambatan antara kuasa-kuasa yang bersaing.

Tidak kira apa yang berlaku di peringkat global, rakyat Malaysia boleh yakin bahawa kerajaan akan terus proaktif menangani apa jua implikasi yang timbul untuk melindungi kepentingan mereka. Sememangnya, penyertaan berterusan kami dalam forum antarabangsa seperti APEC, serta forum baharu seperti BRICS mencerminkan hasrat Malaysia untuk penglibatan yang lebih konstruktif demi keseimbangan kuasa besar dalam orde baru dunia.

Walau apapun yang berlaku, hakikatnya kita perlukan lebih banyak kerjasama multilateralisme yang membina untuk membolehkan dunia berkembang maju.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!