Hukuman 5 penuntut UPNM kes buli diketahui 2 minggu lagi - Mohamed Khaled

MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED
A
A
A

KOTA TINGGI - Keputusan hukuman terhadap lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang terlibat dalam dua kes buli berasingan di universiti berkenaan baru- baru ini hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian telah mempunyai keputusan terhadap mereka yang terbabit dalam kes berkenaan namun masih menunggu ia disahkan dalam persidangan Majlis Angkatan Tentera (MAT), kelak.

"Kalau memang bersalah mereka akan dihukum untuk dibuang. Mereka juga perlu bayar denda iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang mereka jadi kadet belajar di Universiti dan mereka mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

"Maknanya bila hukuman disahkan dalam Mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi. Keputusan sudah ada seperti yang telah saya katakan. Ia membabitkan dua kes yang melibatkan lima kadet dan salah seorang membabitkan kes buli seterika,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi di sini, pada malam Jumaat.

Mohamed Khaled (duduk, tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi, pada malam Jumaat.
Mohamed Khaled (duduk, tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi, pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan memperketatkan tindakan terhadap individu atau pihak yang didapati menyorokkan insiden buli yang terjadi di UPNM.

"Kita terbuka dan tiada sebarang sekatan, kalau ada yang merasa kes itu jatuh dalam soal jenayah, maka terpulang kepada setiap kadet untuk buat laporan polis, dari segi kementerian kita tak halang.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin menjelaskan iaitu latihan tentera memanglah berat tapi tidaklah melakukan kekejaman sehingga aspek memukul dan mengguna seterika," katanya.

Pada 22 Oktober lalu, seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada oleh seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.

Sehari sebelum itu seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memberitahu pihaknya dan agensi kerajaan sudah dalam keadaan bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).

"Pejabat Daerah memang telah diminta untuk bersedia kerana memang telah menjadi kebiasaan pada November hingga Januari, Kota Tinggi akan berhadapan dengan banjir.

"Kita tahu Kerajaan Pusat pun telah luluskan beberapa projek tebatan banjir dalamkan sungai tapi kita juga sedar projek itu mengambil masa untuk siap dibina dalam tempoh dua, tiga tahun lagi.

"Bagaimanapun, kita mengambil pengalaman daripada situasi banjir yang pernah berlaku sebelum ini. Paling penting bila berlaku banjir usaha untuk membantu daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan itu dapat kita gemblengkan bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!