Cabaran Soon Huat-Shevon di Jepun terhenti
CABARAN pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto terhenti di peringkat separuh akhir sebentar tadi.
Pasangan nombor 10 dunia itu terpaksa akur tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand dalam saingan yang berlarutan sehingga ke set penentuan.
Mereka bermula positif pada set pertama apabila menang 21-18 dalam aksi di Gymnasium Kumamoto Prefectural itu.
Pertarungan kian sengit menjengah pada permainan kedua apabila pasangan lawan mengubah rentak dan ia berbaloi apabila menang 22-20 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.
Soon Huat-Shevon bagaimanapun enggan mengalah apabila cuba bangkit pada permainan ketiga, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila terpaksa akur tewas 14-21 dalam tempoh 64 minit perlawanan.
Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mengubah perjalanan mereka ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China bulan depan.
Mereka yang menghuni ranking ketiga WTF sudah mengesahkan tempat di Hangzhou yang dijadual bermula 11 hingga 15 Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!