Cinta berputik di UiTM, pasangan suami isteri berjaya tamat pengajian kini bergelar doktor

Dr Muhammad Adli Syahmi berjaya menamatkan pengajian bersama isteri, Dr Siti Nursabrina (kanan) dan kini bergelar doktor perubatan.
Dr Muhammad Adli Syahmi berjaya menamatkan pengajian bersama isteri, Dr Siti Nursabrina (kanan) dan kini bergelar doktor perubatan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Pasangan suami isteri yang mula bercinta sejak zaman bangku pengajian akhirnya berjaya mengukir momen bersama berkongsi pentas menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penerima Anugerah Naib Canselor (ANC), Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha, 25, dan isterinya, Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad antara graduan yang dirai dalam Majlis Konvokesyen ke-100 UiTM.

Menurut Dr Muhammad Adli Syahmi, kejayaan dirangkul adalah hasil daripada profesionalisme diri yang bijak membahagikan antara pelajaran dan kehidupan peribadi.

“Waktu bergelar pelajar, kita mesti utamakan pelajaran. Bercinta boleh tetapi jangan abaikan pelajaran dan hanyut sampai tersasar dari landasan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UiTM pada Sabtu.

Tambahnya, beliau turut berhadapan dengan cabaran sewaktu belajar antaranya disebabkan masalah kesihatan.

Dr Muhammad Adli Syahmi berkata, beliau merupakan antara pelajar yang terawal dijangkiti Covid-19 pada 2021.

Jelas beliau, keadaan tersebut menjadi cabaran psikologikal baginya kerana ketika itu, data mengenai wabak itu tidak banyak.

“Kejadian berlaku pada semester ketiga. Saya dikuarantin dan berkurung selama 11 bulan di kolej sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

“Hal itu merupakan suatu tekanan mental bagi saya kerana tidak dapat bergaul dengan orang luar,” ujarnya.

Menyentuh mengenai rahsia mengapai kejayaan, Dr Muhammad Adli Syahmi berkata, tiada jalan mudah untuk berjaya, sebaliknya ia memerlukan pengorbanan dan usaha berterusan.

“Satu tips yang saya boleh kongsi adalah, perlu selalu mendekati pensyarah. Ini kerana, mereka sangat berpengalaman.

“Mereka dapat memberikan nasihat yang berguna dan patut terapkan dalam pelajaran,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Siti Nursabrina turut berkongsi kisah bahawa beliau pernah gagal dalam peperiksaan, namun hal tersebut tidak mematahkan semangat untuk terus bangkit.

Walaupun pernah rasa mahu berputus asa, beliau berkata, setiap kejayaan yang ingin digapai memerlukan pengorbanan.

“Saya bangun setiap pagi, berdoa dan memohon restu kepada ALLAH dan ibu bapa serta berusaha bersungguh-sungguh dalam kelas dan di hospital.

“Saya tiada pilihan melainkan untuk bangkit semula, belajar lebih kuat daripada biasa dan sasar untuk lulus peperiksaan itu. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!