Sultan Perak kurnia pingat kepada 153 individu
KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan mengurniakan darjah kebesaran serta pingat sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-68 di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.
Seramai 153 individu menerima pingat bermula daripada Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) sehingga Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Berangkat sama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya.
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak dimulai dengan pengurniaan Darjah ACM kepada 14 orang penerima termasuk Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta, Atikah Md Radzi; Pegawai Memerintah Batalion Ke-9 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Hirwan Baharuddin dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Muhammad Fauzi Uzir Abd Wahab.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 41 orang penerima termasuk Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Shamsahhimi Harun; Pengetua SMK King Edward VII, Alias Areff; Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Roslina Ishak; Pengetua SMK Agama Sultan Azlan Shah, Taufik Suhaimi Ahmad dan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choy, Tan Chee Ming.
Seramai 59 orang termasuk Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Slim River, S Palany; Guru Cemerlang SJK Cina Hua Lian, Goh Kok Ming dan Ketua Jururawat Hospital Teluk Intan, Zalizah Sarwan menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT).
Baginda juga turut berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 29 orang penerima termasuk pengamal media iaitu Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Nor Ain Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Perak, Abd Razak Mohd Ali.
Turut menerima pingat sama, jurulatih pasukan hoki Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim; atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin; atlet muay thai, Nur Amisha Azril Rizal serta atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi.
Dalam pada itu seramai 10 individu pula menerima PLP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!