Gombak-Hulu Langat diiktiraf Geopark Kebangsaan ketujuh
GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan menerusi Program Pembangunan Geopark mengiktiraf Gombak-Hulu Langat (GHL) sebagai Geopark Kebangsaan ketujuh.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, geopark berkeluasan 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat itu merupakan Geopark Kebangsaan pertama di Selangor.
Menurutnya, GHL merupakan satu-satunya geopark berada dalam kawasan bandar berbanding yang lain kebanyakannya terletak di luar bandar.
"Ini menunjukkan bahawa pembangunan wilayah yang mempunyai warisan berkepentingan geologi, biologi dan budaya tidak dipinggirkan dalam arus pemodenan dan urbanisasi.
"Pengiktirafan GHL merupakan satu lagi pencapaian besar kepada negara khususnya untuk negeri Selangor.
"Ini adalah bukti usaha kita dalam memelihara kelestarian alam semula jadi dan menguruskan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa dengan lestari," katanya pada Majlis Pengisytiharan GHL Geopark sebagai geopark pertama di Selangor pada Sabtu.
Perasmian disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Karnival Gua Damai.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
GHL Geopark masih mengekalkan landskap alam semula jadinya seperti terdiri batuan granit banjaran utama berusia antara 200 hingga 220 juta tahun.
Selain itu, terdapat juga batuan pliestosen akhir di Batu Caves yang paling selatan di benua asia, berusia 350 hingga 500 juta tahun.
Ia turut terdiri Permatang Kuarza Gombak Selangor yang merupakan timbulan kuarza terpanjang di Asia Tenggara sejauh 14 kilometer.
Keunikan lain termasuk lombong arang batu tertua di Malaysia yang terletak di Batu Arang.
Nik Nazmi berkata, pemeliharaan itu selari dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, kerajaan menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.
Ujar beliau, sebanyak 10 Geopark Kebangsaan termasuk GHL Geopark yang telah diperakukan sehingga kini selain Jerai di Kedah, Perak (Kinta dan Lenggong), Labuan, Sarawak (Sarawak Delta), Kelantan (Stong), Terengganu (Kenyir), Perlis dan Pahang (Lipis).
"Selain itu, dua geopark yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) iaitu Langkawi dan Kinabalu.
"Pada tahun ini, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah memperakukan Sarawak Delta Geopark dan Lenggong Geopark untuk dicalonkan sebagai UGGp," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!