Pesara guru terpedaya cabutan bertuah menang kereta

Wan Azlan
Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pesara guru mengalami kerugian RM17,284 selepas terpedaya dengan tawaran cabutan bertuah kononnya memenangi sebuah kererta Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 81 tahun pada 7 November lalu.

"Siasatan awal polis mendapati, semasa mangsa berada di sebuah pasar raya di Bukit Rimau telah didatangi suspek mengaku pegawai di pasar raya itu dan memaklumkan dia memenangi cabutan bertuah kereta Perodua Bezza.

"Bagi menebus hadiah itu mangsa perlu mengikut suspek ke sebuah lagi pasar raya di USJ sebelum suspek membawanya ke sana," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sebaik tiba, suspek meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang (ATM) berserta kata laluan untuk urusan penebusan hadiah sebelum mangsa diminta menunggu dalam kereta.

Bagaimanapun, kata beliau, selepas 30 minit menunggu suspek tidak datang dan mangsa menyedari ditipu.

"Mangsa kemudian pergi ke bank membuat semakan dan mendapati wang simpanannya lesap," ujarnya.

Tambah Wan Azlan, sehubungan itu, polis sedang mengesan individu dikenali Soh Kee Hui, 45, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!