Malaysia, Republik Guinea perlu saling tingkatkan kerjasama bantuan teknikal - MITI
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Republik Guinea perlu meningkatkan penglibatan antara satu sama lain terutama dalam akses pasaran dan bantuan teknikal, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Timbalan Menteri, Liew Chin Tong berkata, tindakan itu penting memandangkan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang utama seperti kewangan Islam, pengurusan haji dan penarafan kredit.
"Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Republik Guinea Ismael Nabe menekankan betapa pentingnya meningkatkan kehadiran Malaysia di Guinea dan kami bersetuju mengenai keperluan untuk kerjasama yang lebih besar antara kedua-dua negara.
"Saya berterima kasih kepada beliau atas peluang untuk bekerjasa,a dan saya mengharapkan kerjasama yang lebih kukuh antara Malaysia dan Republik Guinea.” katanya dalam kenyataan pada Sabtu mengenai kunjungan hormat Nabe.
Menurut MITI, Republik Guinea baru sahaja melancarkan Pelan Strategik Negara bagi tempoh 2024 hingga 2029, yang menumpukan kepada pengalakan ekonomi hijau, mempercepat peralihan digital, membangunkan modal insan dan memupuk inovasi untuk mentransformasikan ekonomi.
Chin Tong berkata, beliau menyokong cadangan Nabe agar mengadakan dialog ekonomi antara ASEAN dan Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS).
"Ini akan memudah cara pertukaran ekonomi antara Malaysia dan negara-negara Afrika, terutama Republik Guinea, membantu mengembangkan perdagangan dan mengukuhkan rantaian bekalan sebagai tindak balas kepada cabaran geopolitik semasa,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!