Pemuda maut tersepit
PELABUHAN KLANG – Seorang pemuda maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Barat, berdekatan kawasan rehat dan rawat (RNR) Pulau Indah), di sini, petang tadi.
Kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu, melibatkan enam kenderaan iaitu dua lori treler, dua lori tanker, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, M. Subendren, 26, beralamat di Perumahan Pegawai Kanan Polis, Desa Aman 2 PDRM, Kuala Lumpur maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kereta Perodua Kelisa yang dipandunya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori tanker cuba mengelak sebuah lagi lori yang berada di sebelah kanan.
“Ketika itu kesemua pemandu berhenti di lampu isyarat merah di lorong kanan jalan berkenaan dan secara tiba-tiba pemandu lori tanker cuba mengelak sebuah lori lain di lorong sebelah kiri lalu masuk ke lorong kanan.
“Akibatnya lori terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang lori treler yang kemudiannya melanggar belakang kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa dan seterusnya kenderaan lain di hadapan,” katanya.
Menurut beliau, akibat perlanggaran itu, kereta mangsa yang berada di tengah antara lori remuk teruk.
“Mangsa tersepit dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kita masih menyiasat kejadian ini bagi mengenal pasti punca sebenar nahas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!