10 bayi maut dalam kebakaran hospital di utara India
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 10 bayi maut apabila kebakaran berlaku di sebuah hospital di Uttar Pradesh, utara India, lapor Agensi Anadolu pada Sabtu.
Kebakaran tercetus di Unit Rawatan Rapi Neonatal di Kolej Perubatan Jhansi di daerah Jhansi, lewat malam Jumaat.
Pegawai kesihatan, Sachin Mahor memberitahu wartawan bahawa lebih daripada 50 bayi sedang dirawat di unit berkenaan dan mengesahkan bahawa 10 bayi meninggal dunia.
Beliau turut memaklumkan bahawa bayi-bayi lain berjaya diselamatkan.
Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath berkata pihak pentadbiran dan pegawai diarahkan untuk menjalankan operasi menyelamat dan bantuan dengan segera.
Rakaman televisyen menunjukkan anggota keluarga meratapi kematian bayi mereka di hospital.
Timbalan Ketua Menteri, Brajesh Pathak berkata bahawa satu siasatan akan dijalankan untuk menyiasat punca kejadian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!