Lapor dulu baru boleh dapat perlindungan - SPRM
KAJANG - Seseorang tidak boleh mendedahkan maklumat kesalahan berkaitan isu rasuah kepada umum dan kemudiannya memohon perlindungan pemberi maklumat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan tersebut kemungkinan telah mendedahkan identiti dirinya dan mendedahkan maklumat yang belum lagi ditentukan kesahihannya.
Beliau berkata, suatu yang tidak munasabah untuk mengharapkan penguat kuasa menjamin perlindungan kepadanya sebelum dia membuat laporan atau aduan kepada agensi penguatkuasa.
"Seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya adalah tidak layak memohon perlindungan pemberi maklumat.
"Ini dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, yang menetapkan bahawa agensi penguatkuasaan boleh membatalkan perlindungan pemberi maklumat jika didapati pemberi maklumat tersebut turut terlibat dalam salah laku yang didedahkan," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program menembak SPRM bersama media 2024 sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-57 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia.
Azam berkata, bagi memohon perlindungan pemberi maklumat, individu perlu melapor terus kepada agensi penguat kuasa kerajaan.
Kata beliau, setelah memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam akta, SPRM akan memberi jaminan dan komitmen untuk melindungi pemberi maklumat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Jelasnya, setelah semuanya dipenuhi, identiti pemberi maklumat serta segala maklumat yang disampaikan dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada sesiapa bahkan semasa perbicaraan di mahkamah.
Tambahnya, pemberi maklumat tidak boleh dikenakan tindakan sivil, jenayah atau tatatertib atas pendedahan tersebut, serta dilindungi daripada sebarang tindakan yang menjejaskan akibat pendedahan tersebut.
Tegasnya, perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan pemberi maklumat.
"Harus diingati Seksyen 25 Akta SPRM 2009 juga menetapkan sekiranya gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah, seseorang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Manakala kegagalan untuk melapor permintaan atau memperolehi suapan juga boleh dihukum penjara dan didenda," ujarnya.
Azam berkata, isu berhubung pemberi maklumat sering disalah faham oleh masyarakat.
Katanya, ada yang beranggapan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai rasuah boleh memohon perlindungan pemberi maklumat.
Tegasnya, negara mempunyai undang-undang dan prosedur untuk memastikan pemberi maklumat dilindungi daripada tindakan balas yang tidak wajar, namun ia mesti dilakukan mengikut undang-undang bagi menjamin keberkesanannya serta mengelakkan penyalahgunaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!