Padah pura-pura kena serangan koronavirus

Rakaman itu menunjukkan lelaki tersebut jatuh pengsan secara tiba-tiba dan turut cuba dibantu penumpang lain. - FOTO: AGENSI
Rakaman itu menunjukkan lelaki tersebut jatuh pengsan secara tiba-tiba dan turut cuba dibantu penumpang lain. - FOTO: AGENSI
A
A
A

MOSCOW - Polis di Rusia telah menahan seorang lelaki yang didakwa berpura-pura menjadi mangsa dijangkiti koronavirus dan jatuh pengsan di kereta api metro.

Dalam rakaman video dikongsi secara atas talian itu menunjukkan penumpang lain cuba untuk membantu 'prankster' terbabit yang memakai topeng muka ketika kejadian dalam gerabak sarat penumpang tersebut.

Tidak lama selepas itu, kumpulan penumpang tersebut bertindak menjauhkan diri selepas lelaki tersebut mengalami 'kekejangan' secara tiba-tiba.

Difahamkan, suspek telah ditahan atas perbuatannya dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabit bersalah.

Kementerian Dalam Negeri Rusia mengesahkan penahanan lelaki itu semalam dan memaklumkan pihak berkuasa kini sedang memburu dua lagi individu yang menjerit kononnya suspek dijangkiti koronavirus di dalam rakaman tersebut.

"Perbuatan rakannya telah mencetuskan panik dalam kalangan penumpang lain," kata jurucakap kementerian itu, Irina Volk.

Sementara itu, laman berita Vesti yang berkongsi rakaman itu di Twitter menyifatkan insiden itu sebagai 'prank' yang sudah tidak terkawal.

Klip tersebut pertama kali dikongsi di Kara.prank pada 2 Februari lalu dan telah dipadamkan daripada laman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Peguam mewakili suspek menyatakan anak guamnya secara sukarela sedia disoal siasat selepas dihubungi oleh polis.

"Dia masih terkejut dan dia tidak bersembunyi. Dia tidak menjangkakan perkara tersebut akan menjadi seperti ini," lapor laman berita Gazeta memetik kenyataan peguamnya.

Rusia telah merekodkan dua kes jangkitan koronavirus selepas wabak membawa maut itu kini merebak ke kira-kira 25 negara.

Moscow turut mengenakan langkah kuarantin terhadap kira-kira 144 individu di kemudahan di Siberia berhampiran lokasi di mana salah seorang daripada mereka yang dijangkiti kini dirawat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!