19 pangkalan hadapan di Jerantut siap sedia hadapi MTL
JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Pengedaran barangan kepada 19 pangkalan hadapan di daerah ini telah dilakukan sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, bekalan tersebut bagi memenuhi keperluan 10,924 mangsa di 107 pusat pemindahan sementara (PPS) terdiri 25 balai raya, 69 sekolah dan 13 dewan di daerah ini.
"Di Jerantut, kami telah membuat pengedaran ke 19 pangkalan hadapan yang juga dikenal pasti iaitu barang-barang keperluan dihantar dan juga kesiapsiagaan oleh pasukan terlibat, agensi dan NGO.
"Selain itu, semalam (Sabtu) saya difahamkan telah diadakan latihan keselamatan oleh APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) juga disertai pelbagai agensi dan pihak kami juga menghantar sukarelawan untuk persediaan hadapi banjir," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan flag-off Larian Fun Run Jerantut anjuran Hospital Jerantut sejauh lima kilometer (KM) yang disertai 530 peserta di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Jerantut di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Hospital Jerantut, Leftenan Kolonel (PA) Dr Mohd Sharafana Abdullah dan Ahli Lembaga Pelawat (ALP) hospital, Norani Muhd @ Mohd Arshad.
Ujarnya, persediaan selepas pasca banjir juga telah dilakukan untuk membantu mangsa terlibat.
"Ini sangat penting, selain membersihkan harta benda, rumah kediaman mereka serta menjaga emosi mangsa banjir.
"Jadi ini yang perlu kita lakukan dalam tempoh tiga bulan terakhir ini," katanya yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!