Tiada PRK Pujut, kata Speaker DUN Sarawak
KUCHING - Tidak akan ada pilihan raya kecil (PRK) susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata, tiada keperluan baginya sebagai Speaker DUN untuk menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan berikutan keputusan itu berdasarkan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Perkara itu antara lain menyatakan bahawa jika kekosongan pada tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh DUN hendak dibubarkan kekosongan jawatan itu tidak akan diisi, melainkan jika Speaker memberitahu SPR secara bertulis bahawa jumlah kekuatan parti yang menjadi majoriti ahli DUN terkesan oleh kekosongan tersebut.
"Keperluan untuk Speaker menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya tidak timbul dan tanpa pemberitahuan itu, tidak (akan) ada pilihan raya kecil," katanya pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.
Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Mohamad Asfia berkata, isu yang dihujah dalam kes itu bukan soal politik tetapi persoalan patriotisme, yang mencerminkan pendirian bahawa sesiapa yang memperoleh kewarganegaraan negara lain dan menjadi sebahagian daripada negara itu tidak boleh dibenarkan untuk mewakili pemilih dalam Malaysia dan duduk di dalam dewan yang menggubal undang-undang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!