Didik masyarakat urus wasiat, hibah
KUALA LUMPUR - Pembahagian harta sebelum meninggal dunia melalui wasiat atau hibah boleh memudahkan urusan dan mengelakkan pertikaian serta perebutan harta selepas kematian seseorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse berkata, ia turut digalakkan dan mendapat tempatnya tersendiri dalam Islam jika dilakukan dengan cara betul sekali gus selaras kehendak syarak.
"Harta berwasiat lebih mudah untuk diselesaikan pembahagiannya kepada waris apabila pemilik meninggal dunia berbanding meninggalkan harta tanpa sebarang wasiat.
"Melalui pengisytiharan wasiat dan hibah, ia dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan dan sokongan kewangan apabila individu tempat bergantung meninggal dunia. Ia perlu dibuat semasa pewasiat masih hidup, berkuat kuasa selepas kematiannya," katanya ketika ditemui sempena Majlis Beyond Today Planning Your Future Wasiat and Hibah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu.
Tambah Nor Fazlina, menyedari kepentingan melakukan wasiat dan hibah, pihaknya berkolaborasi dengan Yayasan TZA bagi memberi pencerahan yang jelas kepada masyarakat.
Ujarnya, ramai menganggap wasiat sesuatu yang tidak penting, rata-ratanya berpandangan pembahagian harta pusaka adalah terhad untuk waris-waris dan dibahagi melalui kaedah faraid sahaja.
"Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah sebanyak satu pertiga daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan. Manakala, dua pertiga daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris untuk dibahagikan secara faraid.
"Pasukan profesional dan berpengalaman kami bersedia untuk menasihati dan membantu dalam merangka kehendak individu, memastikan niat dipenuhi dan warisan berjaya diedarkan dengan cara yang paling cepat serta berkesan.
"Dengan hanya bayaran serendah RM1,080, individu boleh melaksanakan tulisan wasiat dan hibah bersama Maybank Trustees Berhad. Untuk info lanjut, boleh hadir ke cawangan berdekatan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!