Kerajaan Pahang sedia bekerjasama bantu siasatan SPRM - MB
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan itu kerana ia melibatkan hasil kerajaan.
Menurutnya, kegiatan memunggah keluar hasil galian secara haram oleh pihak tertentu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil.
"Sebab itu memang dari dulu kita sentiasa beri kerjasama malahan mereka yang dikesan terlibat kesalahan mencuri mineral dan aktiviti haram di negeri ini bukan saja kena kompaun malah diheret ke mahkamah.
"Ini menunjukkan kita serius dalam menangani isu ini malah melalui tindakan oleh SPRM itu, ia dapat membantu meminimumkan atau menghapuskan kegiatan yang membawa kepada ketirisan hasil kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Anggun Suri di sini pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, kejayaan kerajaan negeri menguruskan ketirisan antara faktor Pahang mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 billion tiga tahun berturut-turut.
SPRM sebelum ini menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh di sini pada Khamis, tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!