Pemilik dua kerakyatan Malaysia-Thailand diburu
PASIR MAS - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalu-alukan pihak berkuasa Thailand menyalurkan maklumat individu yang memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia-Thailand dan terlibat dengan jenayah.
Beliau berkata, memiliki dua kad pengenalan dari dua negara berbeza merupakan kesalahan sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Di negara ini kerana kad pengenalan adalah simbol pemilikan kerakyatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad.
Menurut beliau, sejurus maklumat diperoleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membuat semakan berkait perkara tersebut.
Ujarnya, hal ini kerana JPN membuat data yang paling autoritatif.
Saifuddin Nasution memberitahu, pada masa sama Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan cukup baik termasuk hubungan antara kerajaan (G2G).
Katanya, beliau mengikuti siaran media yang memetik kenyataan pihak berkuasa di negara gajah putih itu berkaitan perkara tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, kebanyakan ahli sindiket pengedaran atau suspek kes dadah yang ditangkap di negara ini mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Thailand.
Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Polis Pratya Baiteh berkata, suspek yang dicekup terlibat kes-kes dadah di kawasan sempadan Thailand juga didapati menggunakan nama dan identiti yang berbeza pada kad pengenalan kedua-dua negara.
Menurutnya, siasatan mendapati, kelebihan memiliki dua kad pengenalan itu sekali gus memudahkan mereka untuk melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand sekiranya mereka diburu oleh pihak polis kedua-dua negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!