RUU tahanan rumah usaha kerajaan kurangkan kesesakan di penjara - KDN
PASIR MAS - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat Rang Undang-Undang (RUU) akta baharu tahanan rumah merupakan salah satu usaha diperkenalkan kerajaan dalam mengurangkan masalah kesesakan di penjara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan pesalah yang merupakan status tahanan reman dalam penjara.
"Tapi kalau yang tahanan reman kerana jenayah berat seperti rogol, bunuh, 39 B (dadah) tidak diambil kira.
"Jumlah keseluruhan tahanan di penjara sehingga 14 November lalu seramai 86,766 orang dan melepasi kapasiti sebenar iaitu 74,146. Daripada jumlah itu, 28,000 adalah individu yang ditahan reman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad.
Menurut beliau, pesalah tahanan di rumah itu akan dipakaikan dengan alat peranti bertujuan memantau kedudukan mereka.
Ujarnya, bagaimanapun akta sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah diletakkan di rumah.
Saifuddin berkata, proses pembikinan RUU akta tersebut sudah berada di peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan semua pemegang taruh.
"Selain itu, sesi libat urus dengan Jawatankuasa Terpilih Parlimen, hak asasi keselamatan, ahli akademik dan pakar-pakar perundangan telah dibuat sebelum kita (KDN) bentang ke Parlimen.
"Saya jangka tekad kami (KDN) tahun depan supaya ia dapat segera dilaksanakan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, akta baharu tahanan rumah akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan sama ada sesi awal, pertengahan atau hujung tahun.
Saifuddin berkata, ia sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!