Wanita rugi RM124,400 terperdaya pelaburan tidak wujud
MUAR - Seorang wanita berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM124,000 lesap akibat terperdaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan mendapati wanita berusia 50 tahun itu telah menyertai satu grup pelaburan di Telegram yang menawarkan pulangan lumayan dalam bentuk mata wang digital bitcoin.
Katanya, wanita tersebut juga dijanjikan pulangan sehingga 250 peratus dalam tempoh beberapa jam.
"Wanita terbabit telah diminta untuk berdaftar dengan menggunakan satu pautan yang merupakan medium pelaburan tersebut.
"Oleh kerana percaya dengan paparan yang dilihat, wanita berkenaan telah membuat tambahan pelaburan mulai 7 November hingga 13 November 2024 melalui proses transaksi sebanyak RM124,000 kepada lapan akaun bank berbeza.
"Sehingga laporan polis dibuat, wanita berkenaan masih gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan, malah diminta pula untuk membuat pembayaran lagi namun dia enggan berbuat demikian kerana berasa telah ditipu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!