KKM harap langkah Johor beri perhatian fasiliti kesihatan jadi ikutan
JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap kerajaan negeri lain mengikut langkah Johor yang turut sama memberikan perhatian kepada fasiliti kesihatan agar proses naik taraf yang ‘long overdue’ dapat dipercepat selaras pendekatan ‘whole-of-government’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana langkah Johor menyalurkan peruntukan terhadap tiga klinik kesihatan di negeri itu dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan di klinik terlibat.
Beliau berkata, KKM amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap keadaan klinik di negeri berkenaan.
"Atas sifat cakna dan murah hati Menteri Besar Johor ini, KKM dapat memberikan tumpuan kepada klinik-klinik lain yang juga mendesak, memandangkan ketiga-tiga klinik ini telah menerima peruntukan khas kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Dzulkefly dalam pada itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025, cukup prihatin dan menyediakan peruntukan besar untuk pembaikan serta naik taraf fasiliti awam terutamanya pendidikan dan kesihatan.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya RM300 juta telah diperuntukkan untuk pembaikan dan naik taraf fasiliti yang daif dan penggantian peralatan klinik-klinik yang uzur.
Johor menerima peruntukan RM32 juta yang akan melibatkan sekurang-kurangnya 45 klinik termasuk KK Gelang Patah dan KK Majidee serta KK Tebrau yang turut dinaik taraf menggunakan peruntukan sedia ada.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad ketika dihubungi, menzahirkan penghargaan kepada Onn Hafiz atas keprihatinan kerana usaha kerajaan negeri itu dapat memberikan lebih keselesaan kepada petugas dan rakyat.
Semalam, Onn Hafiz dipetik sebagai berkata kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi menaik taraf fasiliti Klinik Kesihatan Gelang Patah, Klinik Kesihatan Majidee dan Klinik Kesihatan Tebrau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!