Gadis rugi RM4,000 serah barang kemas tanpa sedar

Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan kejadian itu.
Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan kejadian itu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja sebuah kedai barangan kosmetik kerugian kira-kira RM4,000 selepas diperdaya wanita tidak dikenali sehingga menyerahkan barang kemas miliknya dalam kejadian di Jaya Gading di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian menimpa gadis berusia 18 tahun berlaku kira-kira jam 4 petang ketika dia berada di tempat kerjanya.

Menurutnya, mangsa yang baru bekerja dua minggu mendakwa didatangi suspek berpura-pura sebagai pelanggan.

"Suspek bertanyakan tentang barangan kosmetik yang dijual dan berborak tentang barang kemas yang dipakai mangsa.

"Mangsa mendakwa telah serahkan gelang, rantai dan cincin emas yang dipakai kepada suspek tanpa disedari," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan barang kemas miliknya itu selepas suspek keluar dari kedai.

"Mangsa turut menyedari resit pembelian barang kemas itu juga tiada dalam simpanan.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan wanita itu juga tidak pernah datang kedai tersebut sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari berkata, susulan kejadian itu, mangsa telah membuat laporan polis pada hari berikutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu katanya, polis kini sedang mengesan suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mengenali wanita tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Video kejadian berdurasi satu minit 21 saat turut tular di media sosial memaparkan suspek memasuki sebuah kedai kosmetik dan mendekati pekerja terbabit sebelum mengambil barang kemas milik mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!