6 rakyat Malaysia ditahan: Kerajaan tidak campur tangan urusan Thailand
PASIR MAS - Kerajaan tidak campur tangan dan menghormati siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand terhadap enam rakyat negara ini termasuk penyanyi wanita tersohor Kelantan selepas ditahan bersama dadah di Golok pada minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang berdaulat Thailand mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang mereka terhadap enam rakyat tempatan itu.
"Tentunya kita kena menghormati undang-undang negara itu kerana Thailand adalah sebuah negara berdaulat.
"Kesalahan itu didakwa dilakukan di wilayah negara mereka. Jadi mereka ada hak untuk menguatkuasakan undang-undang negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad.
Menurut beliau, pada masa sama KDN ada melakukan semakan ke atas semua individu terbabit untuk kesalahan-kesalahan lain termasuk menyeberang ke Thailand melalui laluan rasmi atau sebaliknya.
Beliau difahamkan oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, keenam-enam individu terbabit sudah dituduh dan kini ditahan reman selama tiga bulan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok, Thailand.
Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!