Enam PATI bawa motosikal ditahan

PATI yang ditahan dalam satu operasi di sekitar laluan Kota Bharu-Bachok pada Khamis.
PATI yang ditahan dalam satu operasi di sekitar laluan Kota Bharu-Bachok pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Kelantan menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menunggang motosikal dalam satu operasi di sekitar laluan Kota Bharu-Bachok pada Khamis.

Timbalan Pengarah Imigresen (pengurusan) negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, kesemua yang ditahan membabitkan lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua warga asing itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan," katanya.

Nik Akhtarulhaq memberitahu, operasi yang bermula jam 4 petang itu merupakan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan.

Jelas beliau lagi, seramai 11 pegawai pelbagai pangkat di Bahagian Penguatkuasaan terlibat dalam operasi itu selain 25 pegawai daripada JPJ.

"JIM turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat melindungi PATI," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!