Pasar Anak Muda tarikan terbaharu di Temerloh
TEMERLOH - Pasar Anak Muda@Lepak Lorong di sini antara tarikan terbaharu pelancongan selepas diperkenalkan pada April lalu selain menjana ekonomi golongan muda di daerah ini.
Menampilkan keunikan dengan tema menarik setiap minggu, kini lorong itu yang menampilkan usahawan-usahawan muda dikunjungi ribuan pengunjung setiap Jumaat.
Penganjurnya, Afiqah Aida Tarmizi, 26, berkata, pasar sepanjang 132 meter di Jalan Tengku Bakar dan Jalan Dato Abu Samah itu berjaya menampilkan lebih 80 berbanding 14 vendor pada peringkat permulaan.
"Dari sudut ekonomi pula, pada dua hingga tiga bulan pertama penganjuran, pendapatan sebanyak RM30,250 telah dicatatkan dengan 50 orang vendor.
"Kini setelah hampir enam bulan, hasil pendapatan melonjak kepada RM62,800 dengan penglibatan 70 vendor.
"Ini adalah satu pencapaian yang bermakna serta membuktikan bahawa penganjuran ini memberi manfaat kepada ekonomi tempatan, di samping melahirkan usahawan muda yang berdaya saing," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena perasmian Pasar Anak Muda@Lepak Lorong di sini pada Jumaat yang disempurnakan oleh Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat.
Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli.
Ujar Afiqah, kejayaan program itu hasil keprihatinan Suris dalam mendekati anak-anak muda serta mendengar aspirasi mereka selain pelbagai usaha giat dijalankan demi mengangkat bandar ini menjadi sebuah ruang yang mesra golongan tersebut.
Jelasnya, penghargaan juga diberikan terhadap penasihat program tersebut, Syahril Rizal Tajudin yang banyak membantu untuk memastikan Pasar Anak Muda berjaya dijalankan dengan teratur dan cemerlang.
Sementara itu, Suris memberitahu, pihaknya mengalu-alukan penganjuran program tersebut dan setakat ini berpuas hati dengan komitmen diberikan pihak terlibat.
Jelasnya, lokasi itu juga menjadi tarikan pelancongan di Temerloh berikutan keunikan yang ditawarkan berbanding lokasi lain.
"Malah kita juga telah memasang pintu gerbang sebagai mercu tanda selain pemasangan lampu untuk menceriakan kawasan ini.
"Cuma sebagai penambahbaikan, saya berharap satu tapak untuk Pasar Warisan dapat disediakan di sini nanti," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!