Arthur kekal Presiden PBRS
KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup kekal menggalas jawatan sebagai Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) selepas menang tanpa bertanding dalam Persidangan Tahunan Kali Keempat PBRS pada Sabtu.
Turut membarisi kepimpinan, Timbalan Presiden, Datuk Richard Kastum bersama tujuh Naib Presiden iaitu Motusin Matius Bowie, Nomrin Rosnie Manain, Vincen Lee, Dr Zhamriee Gilam Rasul, Fung Hon Yi, Jessel CP Yansalang dan Datin Zainon Kayum.
Barisan kepimpinan lain bagi jawatan Setiausaha Agung ialah Datuk Richard Kastum dan Timbalannya (Setiausaha Kerja), Yillson Yanggun manakala Bendahari ialah Edward Yong dan Timbalannya, Alfeus Anis serta Ketua Penerangan PBRS disandang oleh Datuk Fredie Sua dan Timbalannya, Fazil Ajak.
Sementara itu, Arthur ketika ditemui pemberita berkata, semua jawatan terbuka untuk sesiapa yang ingin bertanding.
"Semua jawatan dibuka untuk dipertandingkan tetapi apabila keputusan itu diterima dan dibuka, saya tidak sangka semua bahagian telah mencalonkan saya dan tidak ada orang lain yang pergi untuk mencalonkan diri dia sendiri. Maka secara 'default' menang tanpa bertanding," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Beliau berkata, keputusan itu jelas menunjukkan bahawa dalam kepimpinan PBRS mereka telah bersatu hati.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua bahagian dan ahli PBRS yang telah memberi sokongan sepenuhnya kepada saya sehingga saya dapat menang tanpa bertanding," katanya.
Ditanya apa perancangan beliau untuk memimpin parti itu, Arthur yang merupakan penerus legasi parti mendiang bapanya, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perlu memastikan parti relevan mengikut peredaran zaman.
"Untuk sebuah parti politik sentiasa kekal relevan, kita kena ikut kepada peredaran zaman tetapi ada nilai-nilai yang mesti sentiasa dikekalkan dan tidak boleh ubah.
"Nilai seperti kesetiaan, integriti, mengutamakan kepada kebajikan rakyat, itu adalah antara nilai yang telah mewujudkan PBRS menjadi satu parti pada hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!