Perjanjian atau pembohongan abad ini?

Trump, Mahathir
Trump, Mahathir
A
A
A

Pada 28 Januari lalu, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan mengenai Deal of the Century melalui Twitternya, pengumuman itu kelihatan terlalu mudah.

Semudah Trump memotong mentega untuk dicalit pada kepingan roti.

Ya, sudah tentu ia sangat senang kerana perjanjian itu dibuat antara AS dengan Israel. AS membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke meja rundingan dan Palestin pula dibiarkan terkial-kial.

Akhirnya Deal of the Century yang dibangga-bangga Trump dan menantunya sendiri, Jared Kushner seolah-olah mengesahkan hampir semua tuntutan Israel. Ia perjanjian berat sebelah yang cuba untuk menghadiahkan Israel segalanya.

Perjanjian yang meninggalkan Palestin dengan sisa-sisa tanpa mampu melakukan apa-apa kecuali janji kononnya tanah Palestin yang semakin merosot sekangkang kera akan dimajukan dengan pelbagai infrastruktur.

Tetapi Trump lupa, tidak semua orang apatah lagi maruah sebuah bangsa dan agama boleh dibeli dengan wang ringgit.

Apatah lagi sejak tahun 2017, Trump dengan sombongnya mengumumkan AS di belakang Israel apabila mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu negara Yahudi itu.

Malaysia sejak sekian lama memang memperjuangkan keamanan di Palestin. Dan tidak hairanlah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lantang mengkritik Deal of the Century sebagai perjanjian yang tidak adil.

Artikel Berkaitan:

Malah, Dr Mahathir yang terkenal dengan kelantangannya menggesa Trump meletakkan jawatan sebagai Presiden AS apabila membuat perjanjian yang membuli Palestin.

Gesaan itu bingkas mendapat reaksi Kedutaan AS di Malaysia yang mendakwa kecewa dengan kritikan pedas Dr Mahathir.

Namun, mereka lupa bagaimanapun perbuatan AS yang sentiasa menggunakan kuasa veto demi mempertahankan tindakan Israel menjajah dan merampas tanah Palestin jauh lebih mengecewakan dunia.

Malah, ramai yang melihat perbuatan Trump yang mencanang gendang ‘kejayaan’ 81 muka surat cadangan Deal of the Century tidak lebih daripada sekadar bahan kempen beliau mempertahankan kerusi Presiden AS tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!