Mara sasar RM100 juta jualan pada MIHAS@Dubai 2024

Asyraf Wajdi pada sidang media sempena penganjuran MIHAS @ Dubai 2024 pada Jumaat. Foto Bernama
Asyraf Wajdi pada sidang media sempena penganjuran MIHAS @ Dubai 2024 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

DUBAI - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk meraih potensi jualan mencecah RM100 juta melalui penyertaan 17 usahawan Program Gate to Global (GTG) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang bakal berlangsung pada 18 November di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Dubai.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyertaan 17 usahawan GTG Mara pada MIHAS@Dubai 2024 dijangka bakal melonjakkan jualan tahunan sehingga 30 peratus tahun ini.

“Pameran itu menyediakan peluang besar kepada usahawan mempromosikan produk serta meneroka pasaran luar dengan menjadikan Dubai sebagai gerbang ke negara Timur Tengah.

“Bila masuk ke peringkat antarabangsa seperti ini (MIHAS@Dubai 2024), kita bukan saja mahu pendedahan tapi kita juga mahu (jana) potensi jualan. Ini bukan syarikat-syarikat yang baru bertapak tetapi mereka sudah memiliki produk sendiri di pasaran domestik.

“Ada juga yang sudah berjaya memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media sempena penganjuran MIHAS @ Dubai 2024 di sini, pada Jumaat.

Tambah Asyraf, usahawan GTG yang turut serta dalam pameran itu menawarkan produk makanan dan minuman serta berasaskan kesihatan.

Setakat ini, 218 usahawan daripada program GTG telah berjaya menjana hasil jualan bernilai RM394 juta dalam tempoh tiga tahun lalu.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di dalam satu kenyataan berkata, acara yang julung-julung kali diadakan itu menarik kira-kira 250 syarikat Malaysia, yang juga bertepatan dengan Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 November 2024.

Artikel Berkaitan:

Menurut Matrade, MIHAS@Dubai akan digunakan untuk memanfaatkan potensi besar pasaran halal di Timur Tengah, seterusnya mengukuhkan statusnya sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global.

Selain itu, Matrade berkata, acara berkenaan juga memainkan peranan penting meletakkan Malaysia sebagai negara terkemuka di peringkat antarabangsa dalam landskap halal.

Syarikat-syarikat yang menyertai MIHAS@Dubai terlibat dalam industri makanan dan minuman, kecantikan, pertanian dan alam sekitar, pelancongan mesra muslim, francais, kewangan Islam dan logistik halal.

Semasa berlangsungnya MIHAS@Dubai, Matrade akan menganjurkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) melibatkan 120 pembeli dari seluruh dunia, termasuk pembeli premium yang dikenal pasti oleh Pejabat Matrade di Dubai, Doha dan Jeddah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!