Selepas 8 pusingan, Mike Tyson tewas di tangan Jake Paul

Mike Tyson kecundang di tangan Jake Paul dalam aksi tinju yang berlangsung di Stadium AT&T, Texas pada Sabtu. Foto AP/Julio Cortez
Mike Tyson kecundang di tangan Jake Paul dalam aksi tinju yang berlangsung di Stadium AT&T, Texas pada Sabtu. Foto AP/Julio Cortez
A
A
A

BEKAS juara dunia, Mike Tyson kecundang di tangan Jake Paul dalam aksi tinju yang berlangsung di Stadium AT&T, Texas pada Sabtu.

Paul, 27, yang terpaksa bermandi peluh, berjaya mengalahkan petinju legenda berusia 58 tahun itu menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision), selepas lapan pusingan.

Tyson bermula garang pada pusingan pertama, namun Paul kelihatan lebih pantas dan bertenaga, menyerang Tyson secara konsisten hingga menguasai pusingan terakhir.

Ketiga-tiga juri memberikan markah 80-72, 79-73 dan 79-73 yang memihak kepada Paul.

Meskipun begitu, Paul menunjukkan penghormatan terhadap Tyson di penghujung pertarungan dengan memberi tunduk hormat kepadanya.

Walaupun tewas, Tyson membuktikan beliau masih berbisa dan mampu bertahan di gelanggang dengan petarung yang jauh lebih muda.

Tyson kali terakhir bertarung secara rasmi ialah 19 tahun lalu iaitu pada tahun 2005 apabila tewas menerusi TKO kepada Kevin McBride pada pusingan keenam.

Beliau kembali ke gelanggang pada 28 November 2020 dalam pertarungan pameran lapan pusingan menentang Roy Jones Jr, yang menyaksikan legenda tinju itu kembali beraksi walaupun hanya untuk acara tidak rasmi.

Artikel Berkaitan:

Ketika zaman kegemilangannya, Tyson mencipta sejarah sebagai juara heavyweight paling muda iaitu pada usia 20 tahun, menerusi kemenangan ke atas Trevor Berbick pada November 1986, untuk merangkul gelaran WBC.

Tyson berjaya menyatukan kesemua tali pinggang kejuaraan heavyweight dalam masa lebih tiga tahun, untuk menjadi 'undisputed champion'.

Sepanjang tempoh itu, beliau merekodkan 10 kemenangan berturut-turut, di mana sembilan daripadanya melalui 'knockout' (KO).

Bagi Paul pula, beliau yang terkenal menerusi platfrom YouTube mula aktif bertinju sejak empat tahun lalu, dan mencuri perhatian sejak debutnya pada Januari 2020.

Dengan rekod 10-1, termasuk tujuh KO, Paul banyak melakukan kejutan dalam arena sukan tempur dengan kemenangan ke atas bekas-bekas jaguh UFC seperti Ben Askren, Tyron Woodley, dan Nate Diaz termasuk legenda MMA Anderson Silva dalam perlawanan tinju.

Pertarungan antara Tyson dan Paul sememangnya satu pertarungan yang hangat dan amat dinanti-nantikan.

Ia merupakan aksi tinju pertama disiarkan secara langsung oleh penyedia platform Netflix.

Semalam, pada sesi timbang berat, Tyson bertindak menampar Paul sewaktu kedua-dua mereka melakukan 'face off'.

Tindakan itu dipercayai dilakukan sebagai tindak balas selepas Paul yang dikatakan telah memijak kaki Tyson.

Paul juga banyak melemparkan provokasi terhadap Tyson yang mempunyai rekod 50 kemenangan dengan 44 daripadanya ialah KO dan hanya tewas enam kali sahaja sepanjang kariernya.

Dalam temu bual selepas pertarungan, Tyson bagaimanapun berkata, beliau tiada perancangan untuk berhenti dari sukan tinju.

Ketika ditanya oleh wartawan sukan tempur, Ariel Helwani tentang siapakah yang beliau merancang untuk berlawan, Tyson berkata, "Mungkin Logan (Paul)."

Untuk rekod, Logan merupakan abang kepada kepada Jake. Logan merupakan seorang penggusti di WWE, pelakon, dan juga YouTuber seperti adiknya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!