Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai bersama 19 rakan
SEGAMAT - Seorang remaja dikhuatiri lemas ketika mandi bersama 19 rakannya di Sungai Jeram Badoh, Buloh Kasap di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun telah dihanyutkan arus di sungai berkenaan.
“Mangsa bersama rakannya dari Felda Palong 4, 5, dan 6, Gemas, Negeri Sembilan mandi di sungai tersebut sebelum dia dilihat hanyut ke tengah sungai akibat arus deras.
“Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat diaktifkan.
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga dibuka di lokasi bagi menyelaras tindakan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, operasi berkenaan melibatkan 35 petugas polis dan bomba termasuk 10 unit aset serta empat buah bot.
Katanya, setakat ini operasi masih diteruskan dan pencarian dilakukan unit selam bomba sudah memasuki zon kedua dengan jarak 150 meter dari lokasi terakhir mangsa dibawa arus.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Segamat, Pegawai Kanan Bomba I, Mansor Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.40 petang tadi.
Katanya, seramai enam anggota BBP Segamat bersama sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' (FRT) digerakkan ke lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!