Tiada komen, kita tunggu - FAM
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung spekulasi legenda Australia, Tim Cahill akan menjadi sebahagian daripada unit khas yang bakal diwujudkan badan induk itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika diajukan soalan mengenai spekulasi itu, tidak mengeyakan ataupun menafikannya tonggak yang pernah bersama Socceroos tersebut.
“Tiada komen, kita tunggu,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kopi Pablo Dollah milik legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh pada Sabtu.
Sebelum ini, banyak pihak mengaitkan bekas pemain tengah Everton itu bakal terlibat dalam revolusi skuad Harimau Malaya melalui penubuhan unit khas yang antaranya bertujuan memantau prestasi dan menguruskan pasukan bola sepak negara secara khusus.
Ia susulan terdapat gambar beliau bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards yang dimuat naik di Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail pada Ogos lalu.
Selain merupakan ikon dan duta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Cahill turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (Qatar FA) dan Ketua Pegawai Sukan Akademi Aspire di Qatar.
Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, pengumuman mengenai unit khas itu akan dibuat bulan depan.
Sebagai rekod, bulan lepas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan badan induk itu tidak akan menswastakan skuad Harimau Malaya sebaliknya mewujudkan satu unit baharu bagi memantau prestasi dan menguruskan pasukan negara, termasuk untuk skuad Bawah 23 tahun.
Beliau dipetik sebagai berkata, tujuan mewujudkan unit itu antara lain bagi menjaga kebajikan dan persembahan pasukan kebangsaan ke arah lebih baik, selain memastikan peruntukan diterima hanya untuk kegunaan pasukan terlibat.
Mohd Yusoff berkata, idea penubuhan unit itu dicetuskan oleh Tunku Mahkota Ismail ketika pertemuan baginda bersama Perdana Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!