Pelanggaran sempadan maritim: Hajiji harap diselesaikan dalam keluarga ASEAN
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berharap isu berkaitan dua akta maritim baharu Filipina yang melanggar sempadan maritim Sabah dapat diselesaikan dalam keluarga ASEAN.
Beliau berkata, perkara itu sudahpun diketahui kerajaan Malaysia untuk diambil tindakan selanjutnya dengan menghantar nota bantahan kepada pihak berkaitan.
"Pihak kerajaan Persekutuan sudah maklum perkara ini dan kita telah menghantar nota bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kerana sempadan maritim yang dibuat oleh Filipina itu masuk ke sempadan negara kita. Jadi kita serahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan secara keluarga ASEAN," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri Sabah 2024 sempena Majlis Penutupan Worldskills Malaysia Sabah 2024, di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu di sini.
Hajiji bagaimanapun menolak kemungkinan kewujudan akta tersebut akan mengancam keselamatan di Sabah.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin mendedahkan bahawa Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Menurutnya, Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 November lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Sementara itu mengulas dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu, Hajiji kekal dengan pendirian menyerahkan kepada pihak berwajib melakukan siasatan.
"Biar jabatan yang berwajib ambil tindakan. Kita tunggulah," katanya.
Beliau sebelum ini meminta supaya pemberi rasuah turut disiasat kerana pihak tersebut mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
Beliau turut berkata, di pihaknya tidak menyembunyikan apa-apa dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinanya berjalan seperti biasa.
Malah beliau turut menganggap ia hanya tuduhan dan meminta pihak berkaitan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setakat ini, empat ADUN telah didedahkan melalui video termasuk rakaman audio didakwa dikaitkan dengan skandal rasuah di negeri ini.
ADUN tersebut ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang; ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Tanjung Keramat merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!