NUJM, CIJ, Geramm tuntut penjelasan KDN pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi penjelasan berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan bersama berkata, ia berikutan terdapat desas-desus bahawa syarat serta penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, pindaan oleh KDN termasuk mengembalikan keperluan pembaharuan lesen (setiap tiga tahun) dan meluaskan takrifan penerbitan termasuk kandungan digital serta elektronik.
"Ini menimbulkan kebimbangan bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau serta dikawal.
"Pindaan terhadap akta ini juga dikatakan akan memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan penalti lebih berat," katanya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, pihaknya memandang serius perkhabaran tersebut kerana dikhuatiri memberi impak besar kepada organisasi, petugas media serta menggugat kebebasan media di Malaysia.
"KDN perlu maklumkan kepada kami situasi sebenar membabitkan cadangan pindaan berkenaan bagi membolehkan kami memberi penjelasan kepada rakan-rakan media lain serta memenuhi kepentingan awam.
"Ini adalah saat kritikal bagi Kerajaan Madani untuk menunjukkan komitmennya terhadap reformasi dan seharusnya tidak ada usaha menjejaskan kebebasan media terutamanya apabila kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia.
"Akhirnya, kami menyeru semua pihak untuk sentiasa mengadakan perbincangan bermakna dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum mengambil sesuatu keputusan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!