Malaysian Tigress tewas tipis kepada Jepun

Aksi Malaysian Tigress ketika menentang Jepun pada Sabtu. Foto Hockey India
Aksi Malaysian Tigress ketika menentang Jepun pada Sabtu. Foto Hockey India
A
A
A

SKUAD hoki wanita negara mencatat kekalahan tipis 1-2 kepada Jepun pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 di Stadium Hoki Rajgir, Bihar, India pada Sabtu.

Malaysia memperoleh gol tunggal menerusi jaringan padang Nur Iman Adawiyah Mohd Suhami pada minit ke-26, manakala Jepun pula mengesahkan kemenangan melalui dua jaringan daripada Shiho Kobayakawa (minit ke-49) dan Miyu Hasegawa (minit ke-51).

Setakat ini, Malaysian Tigress masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir apabila berada di kedudukan keempat dengan tiga mata, manakala China berada di tempat pertama (sembilan mata) diikuti India (sembilan mata) dan Jepun (lima mata).

Hanya empat pasukan teratas layak ke perlawanan separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.

Sebelum ini Malaysia melakar kemenangan tunggal 2-1 ke atas Korea Selatan, manakala tewas dua kali masing-masing 0-4 kepada India dan 0-5 di tangan China.

Malaysia akan menutup kempen di peringkat kumpulan menentang Thailand Ahad ini.

Edisi 2023, Malaysia menamatkan kempen pada saingan ACT Wanita di tempat kelima dengan menumpaskan Thailand 1-0 di Ranchi, India.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!