OKU kerdil, buta terima anugerah kecemerlangan UIAM
GOMBAK - Dua wanita kategori orang kurang upaya (OKU) kerdil dan buta membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang buatnya untuk berjaya selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Ko-Kurikulum pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 di sini pada Sabtu.
Pada majlis itu, Nurhidayu Ishak, 24, OKU kerdil merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), manakala Nurulhuda Khairani Taupeack Kamal lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari (KSCTL) UIAM Kampus Pagoh.
Nurhidayu berkata, kejayaan yang dikecapi itu hasil sokongan rakan-rakan seperjuangan.
"Ia menjadikan saya tidak terlalu merendah diri, sebaliknya bersemangat untuk meneruskan pengajian di sini," katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu, merupakan seorang pelajar yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai program bersama komuniti dan aktiviti-aktiviti kelab dan persatuan yang dianjurkan di dalam kampus.
Nurhidayu merupakan salah seorang ahli kumpulan pendaki Gunung Kinabalu yang menyertai Cabaran OKU Kinabalu UIAM 2022 lalu.
Sementara itu, Nurulhuda Khairani berkata, anugerah yang diterima ini menunjukkan OKU mampu berjaya seperti pelajar normal lain.
"Semangat kami tetap kuat seperti orang yang sempurna dan kami boleh lakukan lebih daripada itu walaupun pergerakan sedikit terbatas," katanya.
Anugerah tersebut dikurniakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj yang berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan sidang satu majlis konvokesyen UIAM.
Pada tahun ini seramai 5,041 orang graduan yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.
Majlis Konvokesyen UIAM berlangsung selama lima hari bermula Sabtu hingga Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!